PETALING JAYA: Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkemungkinan mengekalkan jawatannya selaku Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bagi penggal 2025-2029 selepas menurut sumber mendedahkan terdekat beliau menjadi calon tunggal untuk menduduki kerusi No. 1 itu dalam sesi pemilihan pada 19 April ini.
Selain Norza, jawatan Setiausaha Agung bakal menjadi milik Timbalan Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Mohd Nasir Ali yang ketika ini turut memegang jawatan Penolong Bendahari MOM selepas beliau tidak dicabar oleh mana-mana calon.
Bagi jawatan Timbalan Presiden pula menyaksikan Presiden Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) yang juga Naib Presiden MOM, Datuk Nur Azmi Ahmad bakal merebut dengan Presiden Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM), Datuk Awalan Abdul Aziz.
Timbalan Presiden ketika ini, Tan Sri Hamidin Mohd Amin difahamkan tidak akan mempertahankan jawatan beliau.
MOM dalam kenyataan semalam memaklumkan bahawa senarai penuh calon yang akan bertanding bagi pemilihan penggal baharu akan diumumkan secara rasmi hari ini.
Pemilihan bagi penggal baharu membabitkan 12 jawatan iaitu Presiden, Timbalan Presiden, lima Naib Presiden, Setiausaha Agung, dua Penolong Setiausaha Agung (satu lelaki dan satu wanita), Bendahari serta Penolong Bendahari. – UTUSAN