MELAKA: Tindakan sekumpulan warga asing yang menjaja di kawasan berhampiran projek pembinaan tambahan di sebuah kilang di Batu Berendam di sini telah diambil tindakan penguatkuasaan oleh Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ).
Yang Dipertua MPHTJ, Datin Sapiah Haron berkata, antara Januari 2024 sehingga Mac lalu, sebanyak 14 tindakan sitaan telah dilakukan ke atas penjaja tanpa lesen yang terdiri daripada pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) dari Myanmar serta beberapa warga Bangladesh.
Menurutnya, antara barangan yang disita termasuklah bakul, basikal, tong makanan serta makanan dan minuman yang dijual di kawasan awam tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Lokasi tersebut menjadi tumpuan warga asing kerana bersebelahan dengan kawasan pembinaan di mana kebanyakan pelanggan juga merupakan pekerja asing di tapak projek itu.
“MPHTJ menerima banyak aduan berkaitan penjaja asing yang menjalankan perniagaan tanpa lesen di kawasan ini. Mereka bukan sahaja tidak mematuhi peraturan tetapi juga berisiko menjejaskan tahap kebersihan makanan dan keselamatan awam,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Tambah beliau, tindakan pemantauan dan operasi penguatkuasaan akan terus dijalankan dari semasa ke semasa bagi memastikan aktiviti penjajaan haram berkenaan dapat dikekang.
“Kami ingin mengingatkan bahawa hanya penjaja yang mempunyai lesen sah dibenarkan berniaga di kawasan MPHTJ. Mana-mana aktiviti perniagaan oleh individu tanpa dokumen sah atau permit akan dikenakan tindakan tegas.
“MPHTJ menyeru orang ramai agar tidak menyokong kegiatan ini dengan membeli makanan atau minuman daripada penjaja tidak sah, selain melaporkan terus sebarang aktiviti yang mencurigakan kepada pihak majlis,” tegasnya. – UTUSAN