KUALA LUMPUR: Seorang mekanik didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah menyebarkan gambar separuh bogel wanita kepada rakan dan keluarga mangsa.
Tertuduh, Adi Fauzal, 37, membuat pengakutan itu selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Atiqah Mohamed @ Mohamed Saim.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 5 Oktober 2022, pukul 1.45 petang di Pusat Industri Sri Rampai, Wangsa Maju di sini.
Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau dengan denda atau kedua-dua sekali.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurainizarul Farhana Zainal memohon tertuduh dikenakan hukuman setimpal dan mengambil kira kepentingan pengadu yang juga mangsa di dalam kes ini.
Sementara itu, tertuduh yang diwakili peguam, Suthes Perumal merayu agar mahkamah mengenakan hukuman ringan kepada tertuduh.
“Tertuduh memiliki pendapatan RM1800 sebulan dan memiliki sakit darah tinggi serta asma. Tertuduh telah insaf dan bertaubat dengan perbuatan dan telah meminta maaf kepada pengadu. Saya mohon jasa baik mahkamah untuk memberikan peluang pertama dan terakhir kepada tertuduh untuk membaiki diri,” katanya.
Mahkamah juga menetapkan hukuman penjara dua bulan jika tertuduh gagal membayar denda. – UTUSAN