PUTRAJAYA: Kerajaan bersifat terbuka terhadap apa-apa cadangan mengenai pembaharuan proses pelantikan bagi jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kerajaan akan menerima pandangan pelbagai pihak demi membawa reformasi kepada institusi-institusi penting dalam negara.
“Kerajaan sentiasa terbuka untuk menerima pandangan daripada pelbagai pihak untuk menambah baik sama ada perundangan ataupun proses dalam usaha membawa reformasi kepada institusi-institusi yang penting dalam negara kita,” katanya dalam sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet di sini hari ini.
Fahmi menjelaskan, mesyuarat Kabinet hari ini juga tidak membincangkan kemungkinan lanjutan untuk Ketua Pesuruhjaya SPRM semasa Tan Sri Azam Baki, yang tempoh perkhidmatannya dijadualkan berakhir pada Mei ini.
Semalam, Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4 Center) menggesa proses pelantikan ketua pesuruhjaya SPRM didesentralisasikan.
Ia menyatakan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberikan Azam dengan dua pelanjutan setahun walaupun Azam telah melepasi umur persaraan wajib.
Ini susulan laporan Bloomberg yang memetik sumber sebagai berkata bahawa Anwar dijangka melanjutkan tempoh perkhidmatan Azam enam bulan lagi. – UTUSAN