NEWCASTLE, England: Pengurus Manchester United, Ruben Amorim mengakui sudah lali dengan kritikan selepas satu lagi kekalahan pasukannya dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) di Newcastle United awal pagi tadi.
Katanya, kekalahan dalam padang lebih teruk berbanding kritikan secara peribadi terhadapnya.
United kalah kali ke-14 dalam liga musim ini dan menyamai jumlah kekalahan yang dialami mereka sepanjang kempen 2023-24.
Pada aksi di St James’ Park, dua gol daripada Harvey Barnes dan masing-masing satu gol daripada Sandro Tonali serta Bruno Guimaraes memastikan kemenangan bergaya Newcastle ke atas United.
Jaringan tunggal pelawat dijaringkan oleh Alejandro Garnacho.
“Saya faham (kritikan) tetapi saya tidak peduli. Tiada apa yang lebih teruk berbanding kalah perlawanan.
“Mereka boleh katakan apa sahaja yang mereka mahu. Jika anda lihat kedudukan kami dalam carta, ia menceritakan segala-galanya,” kata Amorim.
United kini melalui empat perlawanan tanpa kemenangan dalam semua kejohanan, menyaksikan mereka terperosok di tangga ke-14 dengan hanya enam perlawanan berbaki untuk mengelakkan kedudukan terburuk sejak musim 1973-74, ketika mereka menduduki tempat ke-21 dan tersingkir.-AGENSI