Juara Asia, Aaron-Wooi Yik ketuai skuad kebangsaan pada Piala Sudirman

Juara Asia, Aaron-Wooi Yik ketuai skuad kebangsaan pada Piala Sudirman

Malaysia diundi di dalam Kumpulan C dan akan memulakan kempen menentang Perancis pada 28 April dan diikuti Australia (29 April) serta Jepun (1 Mei). - IHSAN FB BAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia menurunkan barisan terkuat dengan juara beregu lelaki Kejohanan Badminton Asia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengetuai skuad kebangsaan pada Piala Sudirman 2025 yang akan membuka tirai kejuaraan pada 27 April hingga 4 Mei ini di Xiamen, China.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), hari ini, selain Aaron-Wooi Yik, pasangan No. 2 dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani turut tersenarai bersama-sama Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang menghuni ranking No. 7 dunia.

Gandingan No. 3 dunia, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai mendahului senarai untuk sektor beregu campuran.

Beregu yang pada ketika ini dipisahkan buat sementara waktu, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei turut berada di dalam senarai yang diumumkan BAM dengan Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin juga menyertai skuad kebangsaan.

Untuk sektor perseorangan lelaki, Malaysia kehilangan khidmat pemain No. 1 negara, Lee Zii Jia yang terpaksa diketepikan gara-gara kecederaan.

Ketiadaan Zii Jia, menyaksikan BAM mempertaruhkan pemain No. 26 dunia, Leong Jun Hao dan Justin Hoh yang berada di ranking ke-48 dunia.

Walaupun, Malaysia kelihatan sedikit pincang di sektor perseorangan lelaki, namun, diharapkan Jun Hao dan Justin mampu menghadirkan elemen kejutan pada penampilan mereka di Xiamen nanti.

Sementara itu, beregu wanita No. 5 dunia, Pearly Tan-M. Thinaah turut memperkukuhkan barisan skuad negara dengan Go Pei Kee dan pemain remaja, Carmen Ting juga disenaraikan.

Keputusan membawa Pei Kee dan Carmen mungkin diputuskan barisan kejurutihan selepas menilai prestasi individu kedua-dua pemain berkenaan.

Pei Kee pula selain beraksi dalam beregu wanita, pemain berusia 23 tahun itu juga boleh beraksi dalam saingan beregu campuran.
Untuk perseorangan wanita, Malaysia tidak mempunyai pilihan melainkan menyenaraikan pemain yang berada di ranking ke-48 dunia, Goh Jin Wei dan K. Letshanaa yang menghuni tangga ke-56 dunia.

Kem latihan pusat skuad kebangsaan akan bermula, esok, di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara sebagai persiapan awal menjelang kejohanan berprestij itu.

Malaysia diundi di dalam Kumpulan C dan akan memulakan kempen menentang Perancis pada 28 April dan diikuti Australia (29 April) serta Jepun (1 Mei). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya