PETALING JAYA: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei kembali digandingkan semula dalam usaha memperkukuhkan cabaran Malaysia di pentas antarabangsa, demikian diumumkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini.
Menurut kenyataan rasmi badan induk itu, keputusan untuk menyatukan semula pasangan yang pernah menghuni ranking ketiga dunia itu dibuat selepas menerima permintaan daripada kedua-dua pemain serta hasil perbincangan menyeluruh bersama barisan kejurulatihan.
“Tang Jie-Ee Wei akan menyambung semula gandingan mereka dalam acara beregu campuran. Keputusan ini dibuat selepas permintaan daripada kedua-dua pemain dan perbincangan mendalam antara pasukan kejurulatihan dan mereka.
“Pasangan ini, yang pernah menduduki ranking ketiga dunia sebagai pencapaian terbaik mereka, akan memberi tumpuan baharu di pentas antarabangsa bermula dengan Terbuka Singapura dari 27 Mei hingga 1 Jun,” kata BAM dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi mereka, hari ini.
Keputusan itu memberi isyarat jelas kepada beregu negara itu akan terus berada dalam program Road To Gold (RTG) menjelang Sukan Olimpik Los Angeles 2028. (LA28).
Untuk rekod, Tang Jie-Ee Wei telah dipisahkan bulan lalu susulan prestasi tidak konsisten dan isu persefahaman di gelanggang sejak Sukan Olimpik Paris 2024 yang menjejaskan kempen mereka dalam beberapa kejohanan utama.
Susulan pemisahan itu, Tang Jie telah digandingkan bersama pemain muda Chan Wen Tse, manakala Ee Wei pula dipadankan dengan Loo Bing Kun sebagai percubaan untuk mencari kombinasi baharu yang lebih serasi.
Bagaimanapun, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, semalam menegur BAM agar mengkaji semula keputusan memisahkan gandingan Tang Jie-Ee Wei sekiranya mahu mereka terus berada dalam RTG. – UTUSAN