PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak pihak tertentu yang suka mensensasikan perkara-perkara kecil demi kepentingan puak mereka biarpun isu tersebut mampu ditangani dengan baik.
Mengambil contoh isu perpindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India, dan kisah ‘abang belon’ dikasari penguat kuasa, Perdana Menteri berkata, puak-puak berkenaan sengaja mempergunakan isu tersebut seolah-olah berlaku perang besar.
“Sebab itu saya ingin mengesyorkan jangan berikan ruang (kepada mereka ini) kerana seseorang itu dia bebal dan dia tidak fikir kepentingan umum.
“Semuanya mahu dipolitikkan, semuanya mesti dengan cara menghukum, semuanya kafir dan munafik semuanya jahat belaka. Tak boleh begitu,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini hari ini.
Anwar berkata, memang benar negara ini asas tonggaknya adalah Melayu dan dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan dengan kedudukan kerajaan serta majlis raja-raja.
Namun katanya, ia tidak bermakna golongan minoriti lain mesti terus dihina kerana ia tidak pernah menjadi asas dalam ajaran agama.
“Kita mahu angkat martabat orang Melayu ini dengan kekuatan, kesungguhan kerja, amal ikhlas, keperibadian atau syakhsiah kita, bukannya untuk meremehkan orang lain.
“Bila kita beri kuasa, kita sakau, kita malas, bila kita jadi ketua jabatan, kita remeh, tapi kita sibuk pasal kelemahan orang lain. Mana mungkin satu kejayaan dicapai kalau kita tidak bina kekuatan kita sendiri,” katanya.
.Pada masa sama, Anwar mengakui bukan mudah untuk menyelesaikan isu perpindahan kuil itu dan pembinaan Masjid Madani kerana keputusan yang dibuat adalah berdasarkan prinsip-prisip dengan mengambil jalan perdamaian.
Katanya, langkah itu adalah demi menunjukkan kekuatan Islam untuk menghormati orang lain kerana negara ini ada pelbagai kaum dan agama.
“Kita sudah cuba selesaikan masalah kuil, ia tak mudah, betul (orang kata) Jakel kena beli, Hindu ini bagi percuma, (namun keputusan itu) bukan semudah seperti yang dikatakan.
“Kita nak dirikan masjid, tak boleh kompromi itu bagi saya matlamat terbesar, kedua jalan dengan damai dan aman dan tunjukkan kekuatan Islam beri hormat kepada orang ini kerana negara ini pelbagai kaum pelbagai agama.
“Islam agama Persekutuan. Kekuatan Islam tidak dipertikai dan saya tidak tolak ansur. Ramai kawan-kawan yang nasihat saya, tanggungkanlah jangan panggil Masjid Madani, nanti timbul marah, nanti undi tak dapat. itu bimbang juga, tetapi keputusan kita mestilah berdasarkan prinsip-prinsip,” katanya. – UTUSAN