Jadi ibu tunggal tidak mudah, terus semangat, jangan terlalu sedih - Fazura - Utusan Malaysia

Jadi ibu tunggal tidak mudah, terus semangat, jangan terlalu sedih – Fazura

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Genap enam bulan bergelar ibu tunggal, pelakon jelita, Nur Fazura mengakui kagum dengan ketabahan wanita yang senasib dengannya dalam membesarkan anak-anak.

Menurut Fazura, proses yang dilalui itu tidak mudah malah dia juga mendoakan agar setiap ibu tunggal terus kuat dan bersemangat untuk menjalani kehidupan.

“Saya sangat menghormati para ibu tunggal di luar sana, macam saya baru seorang anak tapi di luar sana ada ibu tunggal yang sampai empat hingga lima orang anak.

“Saya doakan mereka terus kuat, menjadi ibu tunggal memang tidak mudah. Harapan saya untuk semua ibu tunggal supaya sentiasa bersemangat dan jangan terlalu sedih,” katanya.

Kerap menerima kiriman mesej berbaur rintihan daripada para ibu tunggal, penyanyi lagu Pum Pang Raya itu turut menasihatkan agar mereka terus memohon kekuatan dari Sang Pencipta melalui doa.

“Saya juga ada menerima DM daripada beberapa ibu tunggal yang kata sudah tidak tahan dengan hidup. Ingatlah bahawa Allah sentiasa bersama kita, sentiasa memohon kepada-Nya.

“Tiada orang lain yang boleh kita harapkan selain Allah. Inilah momen dan pengorbanan yang anak-anak akan ingat apabila mereka sudah besar,” jelasnya.

Tambahnya lagi, kekuatannya kini adalah puteri kesayangannya, Nur Fatima Aisya, malah dia mahu memberikan tumpuan sepenuhnya untuk membesarkan anak tunggalnya itu.

“Fokus dan keutamaan saya sekarang adalah untuk membesarkan Fatima, saya juga berkerja keras untuk dia, untuk masa depan dan pengajiannya.

“Banyak juga tanggungjawab lain yang saya harus galas termasuk uruskan perniagaan dan saya juga ada keluarga.

“Saya sentiasa berdoa kepada Allah supaya kurniakan saya kesihatan yang baik untuk terus bekerja dan boleh beribadah,” ujarnya

Terdahulu, Fazura pernah mendirikan rumah tangga dengan aktor dan penyanyi, Fattah Amin pada 27 November 2017 namun, bercerai dengan talak satu pada 7 Oktober tahun lalu.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Fatima Aisya yang kini berusia empat tahun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya