KUALA LUMPUR: Pernah mencipta fenomena menerusi busana ketika persembahan Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu di pentas Anugerah Juara Lagu 1988, penyanyi, Ramlah Ram mengakui tidak akan menyarung kembali baju yang cukup ikonik tersebut,
Jelas penyanyi itu, persembahan itu adalah kali pertama dan terakhir dia memakai busana tersebut yang pada hari ini masih dalam simpanan Norma.
“Baju itu pernah disarungkan penyanyi, Mila Jirin ketika dia membuat persembahan pada salah satu konsert Mingguan Akademi Fantasi kelima.
“Kalau ikut perancangan asalnya, pihak produksi mempelawa saya hadir pada konsert itu, memakai baju tersebut sebagai gimik.
“Tapi malam itu saya dilantik sebagai penyampai salah satu anugerah untuk Anugerah Industri Muzik, jadi saya tak dapat hadir ke AF. Maka mereka minta Mila yang pakai baju itu,” ujarnya,
Katanya, selain faktor saiz, dia bagaimanapun tidak mahu mengubah ‘sejarah’ yang tercipta selepas kegagalan lampu di busana tersebut menyala.
“Sampai sekarang saya tidak pernah pakai baju itu. Memang tak muat kerana saiz yang dijahit adalah saya tubuh saya ketika tahun 1986 dan hanya Mila sahaja yang pernah memakai baju itu selain saya.
“Kalau ada yang tanya tidakkah saya mahu menyarungkannya lagi. Jawapan saya tidak. Walaupun saiznya boleh diubah mengikut ukuran badan saya yang sekarang, saya enggan. Biarlah ia kekal seadanya tanpa diubah-ubah,” jelasnya.