MELAKA: Harga santan di seluruh Melaka kekal terkawal antara RM15 hingga RM17 sekilogram sepanjang Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Aidilfitri 2025 dilaksanakan selama 15 hari, berakhir 7 April lalu.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri, Dr. Mohd. Hazimin Jamaludin berkata, tindakan pantas kerajaan menangani isu kekurangan bekalan kelapa berjaya mengelak berlakunya sebarang kenaikan harga santan ketika Ramadan hingga Syawal.
“Kita adakan libat urus dengan pengusaha dan peniaga setelah mendengar mungkin berlaku kenaikan harga kerana bekalan kurang tetapi apabila turun di lapangan, tidak ada sebarang kenaikan harga seperti didakwa.
“Hari ini kita lihat di Pasar Bachang, peniaga mengakui bekalan mencukupi dan harga yang dijual sekitar RM15 hingga RM17 sekilogram,” katanya dalam sidang akhbar selepas Jelajah Mesra Pasar Awam Pasca SHMMP Aidilfitri 2025 di Pasar Bachang di sini, hari ini.
Tambah Mohd. Hazimin, sepanjang tempoh SHMMP Aidilfitri 2025, terdapat tujuh kes dikesan melibatkan kesalahan tidak menggunakan penandaan harga khas (merah jambu), hasil daripada 188 jumlah pemeriksaan.
“Sebanyak 25 aduan berkaitan harga diterima sepanjang tempoh skim tersebut berbanding 21 aduan pada 2024 dengan jumlah pemeriksaan sebanyak 152,” ujarnya.
Menurutnya, berdasarkan statistik penguatkuasaan bermula 1 Januari 2025 hingga semalam, sebanyak 12,954 pemeriksaan telah dijalankan di Melaka, sejumlah 139 kes dihasilkan dengan jumlah nilai rampasan keseluruhan bernilai RM26,134 serta nilai kompaun berjumlah RM34,500. – UTUSAN