Hanya berkumpul sehari sebelum perlawanan - Rezal

Hanya berkumpul sehari sebelum perlawanan – Rezal

PENYERANG JDT Romel Morales melakukan sepakan akrobatik pada perlawanan Liga Super menentang KDN FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri di sini, malam tadi.- UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pengendali Kelantan Darul Naim FC (KDN FC), Rezal Zambery Yahya menyifatkan kekalahan memalukan 0-9 di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT) adalah berpunca daripada skuadnya tidak membuat persiapan rapi berdepan juara Liga Super itu.

Menurutnya, pasukan hanya berkumpul sehari sebelum perlawanan dan menjalani latihan secara berkumpulan menjelang pertemuan itu.

Walaupun kecewa diaibkan skuad Harimau Selatan itu, namun skuadnya tidak mampu berbuat apa-apa dengan keadaan kecergasan pemain yang tidak mencapai tahap 50 peratus.

“Kita sudah tidak menjalani latihan bersama-sama hampir tiga bulan. Jadi, apabila berdepan dengan pasukan JDT tanpa ada persiapan rapi dibuat, inilah akibatnya. Kita hanya berjumpa sehari sebelum perlawanan.

“Namun, saya tetap bersyukur juga kerana pemain masih lagi ingin berjuang bersama-sama dan menunjukkan komitmen pada perlawanan ini walaupun dalam keadaan kekurangan,” katanya.

Pada perlawanan itu, Bergson Da Silva mempamerkan taringnya apabila meledak lima gol, manakala Romel Morales menjaringkan dua gol dan Shahrul Saad serta Safiq Rahim masing-masing menjaringkan satu gol.

Rezal Zambery berkata, kecergasan pemain bukan pada tahap terbaik ketika berdepan JDT setelah hanya menjalani latihan secara bersendirian.

Katanya, seperti dalam beberapa perlawanan terdahulu, skuad Kijang Emas memberi tumpuan terhadap aspek bertahan berbanding menyerang memandangkan tahap kecergasan pemain bukan berada pada tahap tinggi.

“Tahap kecergasan pemain berada pada tahap yang sangat rendah, mungkin hanya 30 atau 40 peratus. Latihan sendiri yang dijalani pemain tak sama dengan intensiti berlatih berpasukan,” katanya.

Matlamat KDN ketika ini adalah untuk menghabiskan semua baki perlawanan selain berharap pemain akan mempamerkan komitmen tinggi mengikut kemampuan mereka.

Katanya, baki perlawanan ini juga sebagai medan untuk pemain menunjukkan bakat sebenar mereka agar dapat menarik minat pasukan lain untuk mendapatkan khidmat mereka pada musim depan.

“Sebagai pengendali pasukan, saya tak mahu pasukan berterusan menjadi mangsa belasahan, namun dalam keadaan yang berlaku dalam pentadbiran pasukan, saya tak mampu berbuat apa-apa.

“Saya harap pemain tak cepat putus asa dan fikirkan masa depan mereka yang masih panjang, kita pun tak boleh jangka apa yang boleh berlaku di masa depan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN