PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menuntut komitmen sepenuhnya daripada 21 atlet yang disenaraikan dalam Program Road To Gold (RTG) sebagai persiapan mereka melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles.
Pemain beregu campuran negara, Chen Tan Jie-Toh Ee Wei turut disenaraikan dalam program tersebut walaupun Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebelum ini membuat keputusan memisahkan gandingan yang pernah menduduki ranking keempat dunia itu selepas prestasi mereka dilihat merudum akibat hubungan yang semakin renggang.
Mengulas lanjut, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata BAM perlu membuat keputusan masak-masak sebelum kedua-dua pemain tersebut memeterai kontrak perjanjian menyertai Program RTG.
“Jadi untuk senarai ini Chen Tang Jin dan Toh Ee Wei, kita dah melaburkan banyak duit untuk pasangan ini dan membuahkan hasil. Saya nak pastikan BAM dan pemain-pemain ini mempunyai komitmen.
“Jadi, atlet yang telah dan akan menandatangani perjanjian dengan kita mesti mempunyai komitmen kepada negara. Tak boleh sewenang-wenangnya buat keputusan tiba-tiba 2027, 2028 saya tak nak main. Tak boleh macam itu.
“Ataupun saya tak nak kes di mana contoh, beregu badminton tiba-tiba 2027 saya tak nak berpasangan dengan gandingan saya lagi, saya nak tukar gandingan. Tak boleh macam itu,” katanya kepada pemberita dalam sidang media RTG LA28 di Lobi Menara KBS, di sini hari ini.
Selain mereka, 11 atlet daripada sukan badminton turut disenaraikan iaitu Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Lee Zii Jia, Pearly Tan, M. Thinaah, Goh Sze Wei, Nur Izzuddin Rumsani, Goh Soon Huat, Shevon Lai, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun.
Selebihnya Mohd Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri (basikal), Mohd Aniq Kasdan (angkat berat), Ng Eain Yow dan S. Sivasangari (skuasy), Ariana Nur Dania, Syaqiera Mashayikh dan Nurul Azreena Fazil (memanah).
Hannah turut berkata atlet yang menolak daripada menyertai program RTG berada dalam kerugian kerana semua bantuan yang diperlukan bagi melonjakkan ranking mereka diberikan.
Kesemua 21 atlet tersebut dipilih selepas kejayaan mereka memenangi pingat di Sukan Olimpik Paris 2024 dan kedudukan ranking 10 terbaik dunia pada tahun ini.
Namun, mereka perlu berada ranking lapan terbaik dunia dan memperoleh pingat di Sukan Asia dan Sukan Komanwel pada 2026 kemudian berada di tangga empat terbaik dunia serta layak secara merit ke Olimpik 2028 pada 2027 jika mahu kekal dalam program tersebut. – UTUSAN