MELAKA: Seorang pekerja kilang dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas kesalahan mencabul seorang wanita di Taman Bandaraya Bukit Serindit, minggu lalu.
Majistret Sharda Shienha Mohd. Sulaiman membuat keputusan itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh, Muhammad Ridzuan Yusof, 28, sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan kekerasan jenayah dengan cara memeluk dan menyentuh kemaluan, selain menekup mulut dari arah belakang bertujuan mencabul kehormatan sehingga mendatangkan ketakutan dan kegentaran terhadap mangsa yang berusia 20 tahun.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 10 malam di Taman Bandaraya Bukit Serindit dalam daerah Melaka Tengah pada 10 April 2025.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau kedua-duanya daripada hukuman itu mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Mengikut fakta kes, pengadu yang bekerja sebagai pembantu klinik gigi sedang berjoging di taman itu bersama seorang rakan sebelum ditinggalkan bersendirian kerana rakannya menyambung semula larian.
Secara tiba-tiba mangsa didatangi tertuduh dan melakukan perbuatan seperti dalam pertuduhan.
Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar memohon hukuman berat dikenakan dengan mengambil kira kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius.
Peguam Muhammad Izzuddin Ab. Malek merayu hukuman ringan dikenakan dengan alasan anak guamnya merupakan orang kurang upaya (OKU) pembelajaran dan bekerja di sebuah kilang dengan pendapatan RM1,300 sebulan serta telah insaf.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan bermula dari tarikh ditangkap iaitu pada 11 April 2025.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, seorang wanita menjadi mangsa serangan seksual apabila dicabul seorang lelaki ketika sedang berjoging di Taman Bandaraya Bukit Serindit.
Mangsa didatangi suspek dari arah belakang sebelum dipeluk, mulutnya ditekup dan dicabul. Bagaimanapun cubaan menarik mangsa ke kawasan semak gagal. – UTUSAN