Brunei 'belanja' kelab Liga Super

Brunei ‘belanja’ kelab Liga Super

Skuad Brunei DPMM FC yang beraksi di Liga Singapura musim ini.-IHSAN DPMM FC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pasukan Liga Super bakal mendapat manfaat daripada penyertaan Brunei DPMM FC dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) pada musim depan.

Ini kerana difahamkan, Brunei akan menaja tiket penerbangan, hotel penginapan dan kos-kos lain kepada kelab tempatan yang bertandang ke negara itu bagi mengharungi aksi liga di sana.

Menurut sumber, perkara berkenaan sudah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak antara pengurusan Brunei dan penganjur Liga M iaitu Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

“Mereka (Brunei DPMM FC) hampir pasti akan beraksi di Liga M musim depan.

“Kita sepatutnya menghargai kesungguhan mereka untuk merancakkan kembali Liga M. Semua kos untuk pasukan di Malaysia yang bermain di sana (Brunei), ditanggung sepenuhnya oleh mereka.

“Pasukan Brunei akan menaja kos penerbangan, hotel penginapan dan lain-lain, jadi tidak timbul isu kos tambahan yang perlu ditanggung pasukan Liga M apabila mereka sertai liga kita.

“Ini peluang terbaik untuk Liga M bergerak lebih kompetitif kerana Brunei DPMM FC juga akan menampilkan barisan terkuat mereka dalam liga nanti,” kata sumber kepada Utusan Malaysia..

Musim depan, Brunei dan juara Liga A1 Semi Pro, Melaka FC antara pasukan baharu yang bakal bermain dalam saingan Liga Super.

Sebagai rekod, Brunei pernah beraksi di Liga M selama tiga tahun daripada 2005 hingga 2008 bermula dengan menyertai Liga Perdana pada musim pertama sebelum ke Liga Super.

Pada musim 2005/2006, Brunei berjaya meraih tempat ketiga di Liga Super dan itu adalah pencapaian terbaik mereka dalam liga tertinggi di negara ini.

Selain itu, rekod Brunei di liga Singapura boleh dikatakan baik apabila menjuarai liga sebanyak dua kali, tiga kali menjuarai Piala Liga Singapura dan muncul pemenang Piala Singapura pada 2018.

Dalam pada itu Brunei pernah menjulang Piala Malaysia 1999 dengan menewaskan Sarawak 2-1 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN