PETALING JAYA: Pengalaman berharga lebih tiga dekad dimiliki dalam arena sukan tanah air dan mencapai pelbagai kejayaan sepanjang tempoh berkenaan, meletakkan Datuk Wira Nur Azmi Ahmad adalah individu tepat untuk menduduki kerusi Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) penggal 2025-2029.
Presiden Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) itu yang kini memegang jawatan Naib Presiden MOM, menjelaskan keputusan merebut jawatan tersebut adalah atas dasar tanggungjawab dan keinginannya untuk terus menyumbang kepada sukan negara, selain memperkasakan kebajikan atlet dan persatuan sukan di Malaysia.
Jelasnya, sebagai bekas atlet hoki, beliau memahami sepenuhnya cabaran yang dihadapi oleh atlet sama ada di dalam atau luar gelanggang.
Beliau turut berazam untuk menjadi ‘jambatan’ dalam menghubungkan keperluan atlet dengan badan pentadbir sukan.
“Objektif saya adalah supaya sukan kita ini menyumbang pingat kepada negara, bukan untuk kepentingan diri. Kalau saya dipilih, saya mahu pastikan sukan yang bertanding di peringkat seperti Sukan SEA, Asia atau Olimpik dapat membuat persiapan yang lebih rapi.
“Saya tidak ingin menjanjikan bulan bintang kerana apa yang saya lakukan sebelum ini telah menjadi bukti dan kini biarlah ahli gabungan memilih dan menilainya,” katanya kepada Utusan Malaysia, hari ini.
Pada pemilihan kali ini, Nur Azmi dicabar Presiden Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM), Datuk Awalan Abdul Aziz selepas penyandang jawatan, Tan Sri Hamidin Mohd Amin, membuat keputusan untuk tidak mempertahankan jawatan itu.
Nur Azmi turut menegaskan beliau tidak pernah ‘mengejar’ jawatan semata-mata, sebaliknya hanya tampil apabila terdapat keperluan serta ruang untuk menyumbang.
“Bila ada kekosongan dan perlu bantu, saya masuk. Saya rasa sudah tiba masanya untuk saya memainkan peranan lebih besar.
“Saya pernah bersama sukan hoki sebagai pemain dan pentadbir, kini bersama karate dan juga bola sepak Melaka. Semua itu beri saya perspektif secara menyeluruh,” jelasnya.
Nur Azmi adalah figura tidak asing dalam arena sukan negara kerana pernah menyandang beberapa jawatan utama dalam badan sukan lain antaranya sebagai Timbalan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM).
Pemilik Kelab Bolasepak Melaka FC itu, menjadi individu penting kepada kejayaan pasukan itu menjadi juara Liga A1 sekali gus berpeluang beraksi di Liga Super musim depan.
Nur Azmi juga berjaya menerajui MAKAF dengan pencapaian cemerlang apabila atlet-atlet mereka meraih pelbagai kejayaan di pentas antarabangsa termasuk memenangi pingat emas Sukan Asia Hangzhou 2022 menerusi , Muhammad Arif Afifuddin Malik dalam acara kumite lelaki bawah 84 kilogram.
Beliau yang juga Naib Presiden Persekutuan Karate ASEAN turut menjadi pencetus kepada penubuhan Akademi Karate Negara yang akan memulakan operasinya bulan depan di Jasin, Melaka.
“Akademi ini bukan hanya fokus kepada pembangunan atlet, tapi juga jurulatih dari seluruh negeri. Kita nak bangunkan sistem dari akar umbi. Semua ini adalah sebahagian dari sumbangan saya kepada arena sukan negara,” katanya.
Tidak dilupakan peranan Nur Azmi ketika menjadi Ketua Kontinjen Negara (CDM) di Sukan SEA Hanoi 2021 di Vietnam, di mana Malaysia berjaya melakar kejayaan cemerlang dengan mengutip 39 pingat emas, 45 perak dan 89 gangsa.-UTUSAN