Arif Aiman lakar sejarah rangkul gelaran MVP kali keempat

Arif Aiman lakar sejarah, rangkul gelaran MVP kali keempat

PEMAIN JDT, Arif Aiman merangkul anugerah Pemain Paling Bernilai, Pemain Tengah Terbaik, dan Gol Terbaik Liga Super 2024-2025, pada Majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2025, di Astro Bukit Jalil, di sini hari ini.-UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bintang sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Mohd Hanapi melakar sejarah tersendiri apabila muncul pemain pertama dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) buat kali keempat berturut-turut pada majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2024-2025.

Pemain muda berusia 23 tahun itu, terus menjadikan Liga Malaysia musim ini sebagai pentas untuk dirinya memperagakan kehebatannya apabila mencetak 12 gol dan 13 ‘assist’ (bantuan gol) bagi membantu kelab Harimau Selatan menjulang trofi Liga Super, Piala FA serta melangkah ke final Piala Malaysia menentang Sri Pahang FC di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 26 April ini.

Keupayaan pemain lincah itu tidak boleh disangkal lagi apabila diberikan kepercayaan oleh pengendali JDT, Hector Bidoglio untuk berada dalam kesebelasan utama dalam setiap perlawanan bagi menggerakkan jentera serangan pasukan.

Kecemerlangan itu meletakkan pemain kebangsaan itu berada di kelas tersendiri apabila menjadi satu-satunya pemain yang meraih gelaran MVP sebanyak empat kali berturut-turut selepas bekas penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha merangkul hatrik pada musim 2010 sehingga 2012.

Ia malam yang cukup indah buat Arif Aiman apabila dia turut mendominasi tiga lagi kategori
lain iaitu Pemain Tengah Terbaik, Gol Terbaik Liga Malaysia 2024-2025 dan juga Fans XI (Penyerang).

Ini juga merupakan musim pertama Arif memenangi kategori Pemain Tengah Terbaik (pencalonan mengikut posisi yang didaftarkan pasukan) apabila sebelum ini meraih gelaran Penyerang Terbaik sebanyak tiga kali sejak tahun 2021 sehingga 2023.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN