PETALING JAYA: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mencipta sejarah apabila menjuarai Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025, sebentar tadi.
Mereka menewaskan gandingan muda China, Chen Bo Yang-Liu Yi dengan kemenangan bergaya 21-19, 21-17 dalam aksi final di Ningbo, China.
Kejayaan itu menamatkan penantian 18 tahun Malaysia untuk menjulang gelaran beregu lelaki Asia sejak kali terakhir dilakukan Choong Tan Fook-Lee Wan Wah pada 2007.
Aaron-Wooi Yik tampil tenang dan berpengalaman untuk mengawal permainan meskipun diasak hebat oleh pasangan tuan rumah yang menduduki ranking ke-16 dunia.
Set pertama berlangsung sengit dengan kedua-dua pasangan saling kejar-mengejar mata sebelum dimenangi wakil negara 21-19 hasil smash padu Aaron.
Aksi lebih meyakinkan ditampilkan dalam set kedua apabila Aaron-Wooi Yik mendominasi gelanggang untuk memastikan kemenangan mutlak 21-17.
Kemenangan ini menjadikan rekod pertemuan memihak kepada Aaron-Wooi Yik dengan kelebihan 3-1 ke atas Chen-Liu dalam empat pertemuan terdahulu.
Lebih manis, ianya juga menjadi gelaran sulung mereka di pentas Asia sekaligus mengukuhkan status sebagai antara beregu terbaik dunia ketika ini. – UTUSAN