PETALING JAYA: Seramai 50 penduduk di Kampung Rawang Putar, Batang Kali, Kuala Kubu Bharu, dekat sini terjejas akibat banjir yang melanda kawasan itu, malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan pada pada 10.23 malam.
Katanya, sepasukan enam anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dikerahkan ke tempat kejadian.
“Menurut laporan awal, banjir yang berlaku membabitkan tiga rumah dengan salah satunya berpenghuni anggaran 50 orang enggan berpindah keluar.
“Terdapat seorang mangsa wanita berusia 84 tahun dibawa keluar ke lokasi selamat dan diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, kedalaman air di kampung itu dianggarkan 0.9 meter namun kini semakin surut.- UTUSAN