PETALING JAYA: Lima individu ditahan selepas dipercayai terbabit kes pergaduhan ketika pesta Songkran di sebuah pusat beli-belah di Damansara, di sini, seperti video tular di media sosial.
Penahanan kesemua individu berusia antara 20-an hingga 30-an itu bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, kesemua mereka ditahan kerana berlaku dalam pergaduhan.
“Kejadian dikatakan berpunca kerana berebut semasa mengisi air untuk pistol air yang digunakan dalam pesta berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Sebelum ini, polis menjalankan siasatan berhubung kes pergaduhan yang berlaku ketika pesta Songkran di sebuah pusat beli-belah di Damansara, di sini, susulan satu video yang memaparkan kejadian itu tular di media sosial.
Siasatan itu dilakukan selepas video berdurasi 56 saat yang dimuat naik oleh seorang pemilik akaun Facebook pada pukul 10 pagi semalam. – UTUSAN