Zii Jia mara ke suku akhir Orleans Masters

Zii Jia mara ke suku akhir Orleans Masters

LEE ZII JIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jaguh perseorangan lelaki Malaysia, Lee Zii Jia menepati ramalan menjejakkan kaki ke suku akhir selepas mengetepikan cabaran Srikanth Kidambi pada peringkat 16 terbaik Kejohanan Badminton Orleans Masters di Palais Des Sports, Orleans, Perancis, hari ini.

Bintang No. 7 dunia itu yang diletakkan sebagai pilihan pertama melakar kemenangan straight set 21-11, 21-17 ke atas Srikanth yang menghuni ranking ke-45 dunia.

Pada suku akhir, esok, anak jati Alor Setar, Kedah itu akan berdepan Nhat Nguyen selepas wakil Ireland itu diberi kemenangan percuma oleh pemain Jepun, Yushi Tanaka yang terpaksa menarik diri akibat kecederaan.

Nguyen ketika itu sedang mendahului 21-5, 8-2 sebelum Tanaka mengambil keputusan memberikan kemenangan kepada pencabarnya itu.

Sementara itu, nasib berbeza menimpa beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang gagal memanfaatkan peluang beraksi tanpa kelibat beberapa gandangan handalan dunia.

Diletakkan sebagai pilihan pertama, beregu No. 4 dunia itu tewas kepada pasangan Indonesia, Rehan Naufal Kusharjanto-Gloria Emanuelle Widjaja yang berada di tangga ke-28 dunia 8-21, 17-21 dalam masa 33 minit.

Bagaimanapun, satu lagi beregu campuran Malaysia, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin mujur tidak mengikut jejak langkah Tang Jie-Ee Wei, selepas gandingan No. 14 dunia itu mengalahkan Lu Meng Che-Hung En Tzu dari Taiwan 16-21, 21-13, 21-16.

Pilihan keenam itu berpeluang membalas dendam bagi pihak Tang Jie-Ee Wei selepas mereka dijadual berdepan Rehan-Glora di suku akhir, esok.

Orleans Masters merupakan kejohanan pemanas badan bagi rata-rata pemain utama dunia yang akan menghadapi kejohanan tertua, All England yang bermula Selasa, minggu depan.

Kekalahan menimpa Tang Jie-Ee Wei sedikit sebanyak menghadirkan kebimbangan dalam persediaan mereka menjelang kejohanan berstatus Super 1,000 itu yang bakal menyajikan cabaran lebih getir. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya