PETALING JAYA: Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, terpaksa berehat daripada saingan antarabangsa selepas mengalami kecederaan buku lali kanan.
Berita itu diumumkan oleh pasukan pengurusannya, Team LZJ, menerusi satu kenyataan rasmi, sebentar tadi.
Menurut kenyataan tersebut, mereka telah berjaya memohon dan mendapatkan perlindungan ranking daripada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
“Langkah ini diambil bagi membolehkan Zii Jia menumpukan sepenuh perhatian kepada proses pemulihan tanpa perlu risau kehilangan mata ranking dunia.
“Bagaimanapun, juara Asia 2022 itu akan terlepas beberapa kejohanan utama, termasuk Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025 pada April ini.
“Kami sedang melakukan yang terbaik untuk membantu Zii Jia dalam program pemulihan dan latihannya,” kata Team LZJ dalam kenyataan itu.
Mereka turut menegaskan bahawa tarikh sebenar kepulangan pemain berusia 26 tahun itu ke gelanggang masih belum ditetapkan. – UTUSAN