KUALA LUMPUR: Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) berhasrat menarik penyertaan bekas atlet ternama bagi memperluaskan jaringan bantuan kepada mereka yang memerlukan.
Pengerusi YAKEB, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, sebelum ini kebanyakan ahli Yakeb terdiri daripada bekas atlet yang memerlukan sokongan kewangan atau kebajikan.
Bagi mengubah pendekatan, YAKEB kini mahu mengajak bekas atlet yang berjaya seperti legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei serta ratu skuasy, Datuk Nicol David untuk turut serta sebagai ahli.
“Kami ingin mengubah konsep keahlian Yakeb dengan menarik bekas atlet yang telah berjaya dalam kehidupan mereka supaya turut serta.
“Ramai dalam kalangan mereka tidak menjadi ahli kerana merasakan tidak memerlukan bantuan, namun kami berharap mereka dapat bersama Yakeb untuk membantu rakan seperjuangan yang kurang bernasib baik,” kata Shapawi selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Persediaan Hari Raya Aidilfitri YAKEB di Bukit Kiara, hari ini.
Sementara itu, Shapawi turut mencontohkan tindakan jaguh paralimpik, Cheah Liek Hou yang sudi menghulurkan bantuan meskipun bukan ahli YAKEB.
Menurutnya, seramai 3,077 bekas atlet telah berdaftar sebagai ahli YAKEB, dan pihaknya berharap jumlah itu akan terus meningkat.
“Kami akan terus berusaha memujuk lebih ramai bekas atlet ternama untuk menyertai Yakeb dan bersama-sama membantu mereka yang memerlukan,” katanya. – AGENSI