JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri tidak membenarkan warga asing berniaga di Bazar Ramadan mahupun Aidilfitri.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, tindakan tegas akan diambil pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk membatalkan lesen sekiranya perkara itu berlaku.
Katanya, tindakan juga akan diambil terhadap peniaga tempatan yang melakukan ‘sewa atas sewa’ kepada peniaga warga asing.
“Di peringkat kerajaan, kita tidak mengeluarkan lesen Bazar Ramadan atau Bazar Aidilfitri kepada warga asing. Jika ada ‘sewa atas sewa’, kita akan batalkan lesen tersebut dengan segera.
“Peniaga sudah maklum dengan garis panduan yang telah kita tetapkan, sekiranya ada pelanggaran undang-undang, kita akan ambil tindakan,” katanya selepas membuat tinjauan hari pertama Bazar Ramadan di Bandar Baru Uda, di sini semalam.
Mohd. Jafni berkata, pihaknya tidak menghalang kreativiti peniaga dalam berniaga, namun perlu mematuhi garis panduan kebersihan yang ditetapkan dan akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dalam memastikan semua peraturan dipatuhi peniaga bazar.
“KKM akan memastikan peniaga ini mematuhi peraturan dari segi penyediaan makanan termasuk pengambilan suntikan typhoid dan sebagainya, manakala KPDN akan memantau dari segi kawalan harga di bawah Akta Antipencatutan 2011.
Mohd. Jafni berkata, pada tahun ini sebanyak 12,757 petak jualan bagi Bazar Ramadan dan Aidilfitri diluluskan kerajaan negeri di 228 lokasi di 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) yang membabitkan 11,202 petak jualan di 200 lokasi Bazar Ramadan dan 1,555 petak di 28 lokasi bagi Bazar Aidilfitri. – UTUSAN