MELBOURNE: Juara dunia Formula 1, Max Verstappen mengesahkan bahawa McLaren pernah cuba mendapatkan khidmatnya, namun usaha itu pantas terbantut sebaik sahaja mengetahui jumlah yang perlu dibayar untuk menebus kontraknya.
Ketua Pasukan McLaren, Zak Brown dikatakan telah menghubungi pengurusan Verstappen ‘beberapa ketika lalu’ bagi meninjau pasaran pemandu.
Verstappen menjelaskan bahawa dia sendiri tidak dihubungi secara terus oleh Brown, tetapi perbincangan itu tidak bertahan lama.
“Dia (Brown) tidak menghubungi saya secara peribadi, tetapi saya rasa ianya tidak berlangsung lama.
“Sebaik sahaja dia tahu berapa yang perlu dibayar, semuanya tamat serta-merta,” kata Verstappen.
Apabila ditanya jumlah yang dimaksudkan, Verstappen hanya tersenyum tanpa memberi jawapan lanjut.
Verstappen, yang masih terikat kontrak dengan Red Bull sehingga 2028, terus menjadi perhatian dalam pasaran pemindahan pemandu F1 walaupun berkali-kali menegaskan kesetiaannya kepada pasukan tersebut.
Sebelum ini, Mercedes dikaitkan dengan usaha mendapatkan Verstappen sebagai pengganti Lewis Hamilton, tetapi akhirnya memilih untuk menaikkan pemandu muda, Andrea Kimi Antonelli.
Aston Martin turut dilaporkan berminat untuk mendapatkan pemandu Belanda itu, malah sanggup menawarkan kontrak bernilai rekod dunia, 1 bilion Pound (RM5.7 billion) bagi membawa Verstappen ke Silverstone. – AGENSI