PETALING JAYA: UMNO menegaskan bahawa parti itu tidak mempunyai sebarang kaitan dengan penemuan wang tunai berjumlah RM170 juta dalam pelbagai mata wang serta jongkong emas yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, UMNO memandang serius sebarang cubaan untuk mengaitkan parti itu dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang melibatkan penemuan sejumlah besar wang tunai dan jongkong emas di rumah individu tertentu.
Beliau berkata, parti itu tiada kaitan dengan penemuan tersebut.
“UMNO berpendirian bahawa SPRM harus diberikan ruang untuk menjalankan siasatan secara telus, bebas, dan adil tanpa sebarang gangguan.
“UMNO juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang secara sengaja mengaitkan, menuduh, atau mencipta persepsi bahawa parti ini mempunyai hubungan dengan kes yang sedang disiasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, SPRM mengesahkan Ismail Sabri adalah suspek dalam penemuan wang tunai RM170 juta dalam pelbagai mata wang baru-baru ini.
SPRM dalam kenyataan berkata, fokus siasatan tertumpu kepada perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta publisiti semasa Ahli Parlimen Bera itu menerajui negara.
Pada 10 Februari lalu, Ismail Sabri telah menghantar kepada maklumat pengisytiharan harta sebelum keterangannya direkodkan pada 19 Februari lepas.
Kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
SPRM dilapor telah menyita wang tunai kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa antaranya Baht, Riyal, Pound Sterling, Won, Euro, Swiss Franc dan Yuan, serta 16 kilogram jongkong emas yang dianggarkan bernilai RM7 juta.