DALAM dunia bola sepak Malaysia yang sering dilanda isu kewangan dan kebajikan pemain, Pemangku Sultan Johor merangkap pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim telah menonjol sebagai figura prihatin yang sentiasa menghulurkan bantuan kepada mereka yang terpinggir.
Baru-baru ini, keprihatinan Baginda terbukti lagi melalui bantuan kepada bekas pemain KL Rovers, Mohammad Gopi Rizqi, 36, yang tidak menerima gaji selama lapan bulan.
Gopi yang berasal dari Pahang dan pernah menyarungkan jersi Pahang, Selangor, JDT, Melaka United dan Polis Diraja Malaysia (PDRM FC) menjadi tular apabila usahanya menyara kehidupan keluarga dengan berniaga air balang sempena Ramadan tahun ini menarik perhatian ramai.
Tunku Ismail tidak hanya sekadar bertindak pantas dengan memberikan tindak balas cepat terhadap masalah kewangan pemain tersebut, malah mengingatkan kita semua tentang pentingnya menjaga kebajikan insan di sebalik jersi dan liga.
Terdahulu, Gopi terpaksa berdepan kesusahan setelah kelabnya gagal membayar gajinya selama lapan bulan, keadaan ini hampir meragut semangatnya untuk terus aktif dalam dunia bola sepak.
Namun, apabila perkhabaran ini sampai ke pengetahuan Tunku Mahkota Ismail, Baginda segera menghubungi Gopinathan dan memberikan sokongan moral.
Tindakan pantas ini bukan sahaja meringankan beban pemain tersebut, tetapi juga membuktikan komitmen Tunku Mahkota Ismail dalam memastikan tiada pemain bola sepak Malaysia yang dipinggirkan.
Pun begitu, ketika kita tidak mengetahui apakah status sebenarnya tetapi seakan-akan kita dapat membuat kesimpulan yang cukup positif apabila Gopi sendiri mendoakan agar Allah SWT memberkati dan merahmati Tunku Ismail sekali gus memberi isyarat bahawa pertemuan ini bagaikan banyak menyenangkan situasi Gopi.
Apa yang pasti, tindakan Tunku Mahkota Ismail bukan sekadar tentang dana tetapi tentang membina budaya saling peduli dalam komuniti bola sepak.
Baginda sebelum ini selalu mengajak semua pihak penyokong, pengurusan kelab, dan pihak berkuasa untuk bersama-sama memastikan kesejahteraan pemain diutamakan.
Keprihatinan Tunku Ismail menjadi penggerak semangat kepada penyokong untuk tidak hanya menyorak kemenangan, tetapi juga menyokong usaha murni membela hak pemain.
Setiap bantuan yang dihulurkan mengingatkan kita bahawa di sebalik glamor gol dan trofi, terdapat manusia yang berjuang untuk keluarga dan masa depan.
Mungkin tidak keterlaluan penulis mengatakan bahawa Tunku Mahkota Ismail tidak hanya meletakkan Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai kelab terbaik Asia, tetapi juga mewariskan legasi keprihatinan yang menjadi contoh pemimpin sukan sebenar.
Kisah Gopi dan pemain lain yang dibantu Baginda adalah bukti bahawa kejayaan sebenar bola sepak terletak pada nilai kemanusiaan yang dijunjung.
Sebagai penyokong, marilah kita turut menghargai setiap pemain yang berkorban untuk negara dan bersama-sama menyokong inisiatif yang menjamin masa depan mereka. Tunku Ismail telah membuka jalan dan kini, kita perlu teruskan perjuangan ini!.-UTUSAN