PETALING JAYA: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz melahirkan rasa terharu atas kepercayaan yang diberikan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) apabila beliau dinamakan sebagai calon pilihan bagi jawatan Presiden badan induk itu untuk penggal 2025-2029.
Pemilihan tersebut bakal dimuktamadkan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) BAM yang dijadualkan berlangsung pada 10 Mei depan.
Menerusi satu hantaran di laman X rasmi miliknya, Tengku Zafrul mengakui tersentuh dengan sokongan yang diberikan BAM selain menerima pencalonan tersebut dengan hati terbuka.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada BAM atas keyakinan yang diberikan kepada saya dengan mencalonkan saya sebagai Presiden. Saya berasa amat terharu dan rendah diri dengan penghargaan ini.
“Sekiranya diberi mandat, saya bertekad memberikan yang terbaik demi BAM serta pembangunan badminton negara, seterusnya memastikan peminat badminton tanah air mendapat kepuasan yang sewajarnya,” katanya.
Sementara itu, Pemangku Presiden BAM, Datuk V. Subramaniam memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas perbincangan menyeluruh, selain telah mendapat sokongan majoriti Ahli Majlis BAM.
“Mengambil kira masa depan BAM, majoriti Ahli Majlis telah mencapai kata sepakat untuk mencalonkan Tengku Zafrul sebagai Presiden dalam pemilihan akan datang.
“Kami melihat kepada gambaran yang lebih besar demi kepentingan BAM. Saya sendiri sudah lama berkhidmat dalam BAM dan arena badminton sejak 1988. Apa yang lebih penting adalah kesinambungan dan pembangunan BAM, bukan soal individu,” katanya.
Untuk rekod, Tengku Zafrul sebelum ini hampir dilantik sebagai Presiden BAM bagi menggantikan Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang melepaskan jawatan pada awal tahun lalu.
Bagaimanapun, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh meminta supaya pelantikan itu ditangguhkan sehingga selepas temasya Sukan Olimpik Paris 2024.