KUALA LUMPUR: Segala teka-teki mengenai perjalanan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei akhirnya terjawab apabila Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membuat keputusan memisahkan gandingan No. 4 dunia tersebut.
Pemangku Presiden BAM yang juga Pengerusi Jawatankuasa Prestasi, Datuk V. Subramaniam, menjelaskan bahawa keputusan itu dibuat berdasarkan cadangan daripada panel kejurulatihan selepas melakukan perbincangan terperinci.
“Kami telah menerima laporan dan cadangan akhir daripada Nova (Widianto) dan Rexy (Mainaky).
“Pasangan ini akan dipisahkan untuk kejohanan akan datang. Kami juga bersetuju untuk memberi masa kepada jurulatih bagi mencuba kombinasi baharu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Keputusan ini menyaksikan Tang Jie bakal digandingkan dengan Chan Wan Tse, manakala Ee Wei akan berpasangan dengan Loo Bing Kun sebagai sebahagian daripada percubaan mencari kombinasi terbaik..
Sejak digandingkan pada hujung 2022, Tang Jie-Ee Wei berjaya meraih tiga gelaran Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF), iaitu Orleans Masters 2023, Terbuka Taiwan 2023, dan Terbuka Korea 2024. – UTUSAN