PETALING JAYA: Kutipan Wakaf Mara Madani kini berjumlah RM51.6 juta hasil sumbangan daripada 1,845 penyumbang bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, angka itu mencerminkan keyakinan rakyat terhadap inisiatif ini sebagai pemacu perubahan ekonomi Bumiputera yang mampan.
Katanya, sebagai dana mauquf, sumbangan wakaf tunai itu perlu dikembangkan secara strategik bagi memastikan manfaatnya berterusan dan berimpak tinggi.
“Insya-Allah, agihan keuntungan daripada pengembangan wakaf ini dijangka bermula seawal Julai 2025.
“Dalam fasa awal pelaksanaan Wakaf Mara Madani, manfaat wakaf akan disalurkan ke pelbagai sektor utama, termasuk pendidikan, keusahawanan, kebajikan, kesihatan, pengangkutan, serta pembangunan aset wakaf,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, antara inisiatif utama adalah bantuan kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi, khususnya bagi sesi kemasukan Julai 2025.
“Sebagai Menteri yang diberi amanah, saya amat berbesar hati dan berterima kasih kepada semua pihak yang telah menyumbang dan menyokong inisiatif ini.
“Setiap ringgit yang diwakafkan bukan sekadar membantu mereka yang memerlukan, tetapi juga menjadi pelaburan jangka panjang dalam memperkasa ekonomi bumiputera,” katanya.
Pada masa sama, beliau menyeru lebih ramai pihak khususnya individu, sektor korporat, badan bukan kerajaan (NGO) dan seluruh masyarakat untuk menyertai gelombang kebaikan tersebut.
“Semakin ramai yang berwakaf, semakin luas manfaat yang dapat kita sebarkan kepada umat dan negara.
“Insya-Allah, dengan pengurusan yang telus, strategi yang jelas dan dukungan padu daripada semua pihak, saya yakin Wakaf Mara Madani akan menjadi pemacu kejayaan ekonomi bumiputera yang lestari, inklusif, dan penuh keberkatan,” katanya.-UTUSAN