PETALING JAYA: Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh tanpa kompromi terhadap pemimpin politik yang terlibat dalam kes rasuah.
Gesaan itu dibuat susulan perkembangan siasatan SPRM terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang didakwa terlibat dalam pengubahan wang haram.
Presidennya, Jais Karim berkata, prinsip integriti dan ketelusan dalam pentadbiran negara harus dipraktikkan secara saksama tanpa mengira pangkat atau kedudukan.
“Sesiapa sahaja yang terbabit dalam penyalahgunaan kuasa dan rasuah mesti dihadapkan ke muka pengadilan, sama ada pemberi atau penerima rasuah,” katanya menerusi satu kenyataan.
Dalam pada itu, MCW turut menggesa reformasi institusi dan pelaksanaan Akta Pendanaan Politik dilakukan segera bagi memastikan pemimpin bebas daripada amalan rasuah.
“Kita akan terus terus memantau dan menyuarakan pandangan bagi mewakili suara rakyat yang menuntut ketelusan dalam pentadbiran negara.
“Perjuangan membanteras rasuah bukan hanya tanggungjawab SPRM dan pihak berkuasa, tetapi memerlukan sokongan seluruh rakyat Malaysia,” katanya. – UTUSAN