PETALING JAYA: Beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai, melangkah ke suku akhir Terbuka Switzerland 2025 selepas menewaskan pasangan Thailand, Ruttanapak Oupthong-Jhenicha Sudjaipraparat.
Dalam aksi yang berlangsung di St Jakobshalle, Basel, sebentar tadi, juara bertahan itu terpaksa berhempas pulas sebelum mencatat kemenangan 20-22, 25-23, 21-11 dalam tempoh 58 minit.
Soon Huat-Shevon menunjukkan ketahanan mental yang tinggi apabila bangkit dalam set kedua sebelum menguasai set penentuan dengan permainan lebih kemas.
Kemenangan ini membawa mereka ke suku akhir, yang mana mereka bakal berdepan juara Terbuka Malaysia 2025 yang juga dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran, awal pagi esok.
Terdahulu, pemain perseorangan negara, Leong Jun Hao tewas kepada pemain Jepun, Kenta Nishimoto 21-17, 20-22, 22-20 dalam masa 1 jam 40 minit. – UTUSAN