PETALING JAYA: Disebalik kejuaraan treble kali pertama dikecapi pasukan wanita Blue Warriors dalam saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2025, antara rahsianya adalah sokongan daripada tokoh dunia korporat.
Tokoh korporat itu adalah Pengerusi ENS Group of Companies, Datuk Seri Selvakumar Shanmugam Chetty yang telah memberi sokongan penuh kepada pasukan bimbingan Megat Azrafiq Megat sehingga mereka berjaya mencipta sejarah baharu dalam arena sukan tersebut.
Dokongan ENS Group of Companies sebagai rakan sukan kepada Blue Warriors berjaya mencipta sebuah kejayaan yang cukup cemerlang sehingga memahat sejarah baharu buat pasukan itu.
“Treble pertama dalam sejarah Blue Warriors adalah detik yang membanggakan bagi semua yang terbabit. Ia bukan sekadar mengenai kemenangan itu sendiri, tetapi perjalanan yang dilalui oleh pasukan ini, peningkatan yang mereka tunjukkan serta impak yang diberikan.
“Apabila kami menyokong pasukan seperti Blue Warriors, kami bukan sekadar menyokong barisan pemain, tetapi membina budaya kecemerlangan,” katanya.
Jelas Selvakumar, sukan bukan sekadar soal persaingan, tetapi ia menawarkan pilihan untuk barisan pemain mengelakkan diri daripada pengaruh negatif seperti terlibat dengan perbuatan tidak bermoral atau jenayah.
“Sukan mempunyai aura untuk memastikan belia kita terbabit dalam aktiviti yang bermanfaat. Dengan memberi peluang kepada mereka untuk beraksi, kita bukan sahaja meningkatkan kesihatan fizikal mereka, tetapi juga membantu membentuk disiplin tinggi serta kerja berpasukan.
“Sukan benar-benar boleh menjadi satu cara untuk mencegah jenayah dan masalah sosial lain, dan itulah sebabnya saya sangat berminat dengan dunia sukan,” ujarnya.
Melihat kepada kejayaan Blue Warriors, ia hanyalah permulaan buat Selvakumar untuk terus menyumbang sesuatu kepada sukan negara.
“Matlamat saya bukan hanya untuk menyokong pasukan ketika menang. Saya ingin mewujudkan suasana di mana golongan muda mempunyai akses kepada sukan dari peringkat akar umbi.
“Sama ada ia pasukan hoki tempatan atau pemain bola sepak remaja di pekan kecil, saya mahu memastikan mereka mempunyai platform, sumber dan sokongan yang diperlukan untuk berjaya. Sukan boleh mengubah kehidupan, dan saya ingin menjadi sebahagian daripada perubahan itu,” jelasnya.
Blue Warriors melakar sejarah bulan lalu selepas memenangi Piala Sumbangsih, kejuaraan liga serta Piala Vivian May Soars.-UTUSAN