LONDON: Jaringan cantik Ismaila Sarr pada babak kedua memastikan kemenangan tipis 1-0 Crystal Palace ke atas Ipswich Town dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Selhurst Park, sebentar tadi.
Kemenangan itu mengangkat Palace ke tangga ke-11 dengan 39 mata, manakala Ipswich terus bergelut di zon penyingkiran di tempat ke-18 dengan 17 mata, lima mata di belakang Wolverhampton Wanderers.
Ipswich berpeluang mencipta kejutan selepas mencatat 15 percubaan ke arah gol, namun ketumpulan penyudah serta aksi cemerlang Dean Henderson menyaksikan mereka pulang hampa.
Palace turut mensia-siakan beberapa peluang, termasuk Eddie Nketiah yang gagal menyempurnakan peluang keemasan seawal minit kedua sebelum rembatannya ditepis Alex Palmer.
Eberechi Eze hampir membuka jaringan pada separuh masa kedua, namun percubaannya yang terkena pertahanan lawan hanya singgah di tiang gol Ipswich.
Pasukan pelawat cuba menyerang melalui serangan balas, namun hantaran terakhir yang kurang kemas memaksa mereka melakukan percubaan dari sudut sukar.
Saat Ipswich gagal memanfaatkan peluang dalam situasi kelam-kabut di hadapan gawang Palace, petanda buruk buat mereka semakin jelas.
Kesempatan itu dimanfaatkan Sarr yang menyudahkan peluang keemasan pada minit ke-82 dengan satu sentuhan bijak menewaskan Palmer, sekali gus memastikan tiga mata buat The Eagles. – AGENSI