BANGI: Keputusan menukar jawatan Tan Sri Mohamad Norza Zakaria kepada Timbalan Pengerusi Road to Gold (RTG), yang sebelum ini merupakan pengerusi bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, dibuat bagi memastikan kesinambungan program tanpa terjejas oleh ketidaktentuan politik.
Hannah menegaskan langkah ini penting untuk memastikan persiapan atlet menuju Sukan Olimpik Los Angeles (LA) 2028 tidak terganggu sekiranya berlaku perubahan dalam kepimpinan negara.
“Jika timbul sebarang isu politik yang menyebabkan ketiadaan menteri, timbalan pengerusi RTG akan mengambil alih dan memastikan program ini terus berjalan. Kami mahu mengelakkan sebarang kelewatan yang boleh menjejaskan persiapan atlet elit.
“Jawatankuasa ini juga lebih kecil supaya keputusan dapat dibuat dengan lebih pantas. Selain itu, kami turut melantik dua anggota baharu, Dr. Ramlan dan Mae, yang mempunyai pengalaman luas dalam ekosistem sukan Malaysia,” kata Hannah ketika ditemui pada Majlis Aspirasi Rakan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) di Bangi, hari ini.
Terdahulu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) turut mengumumkan pelantikan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr. Ramlan Aziz, serta bekas Setiausaha Agung Persekutuan Renang Malaysia (MAS), Mae Chen, ke dalam jawatankuasa RTG.
Sementara itu, Hannah yakin dengan struktur baharu ini, RTG dapat terus memberikan tumpuan kepada atlet elit yang berpotensi membawa pulang pingat emas Olimpik.
“Jawatankuasa RTG ini diwujudkan khusus untuk atlet elit yang berpotensi besar mewakili Malaysia dan merebut pingat emas di Olimpik.
“Jadi, jika berlaku sebarang isu politik yang menyebabkan kelewatan dua atau tiga bulan, mesyuarat tetap boleh diteruskan kerana kita mempunyai timbalan pengerusi,” jelasnya. – UTUSAN