BARCELONA: Lamine Yamal dan Raphinha mempamerkan aksi cemerlang ketika membantu Barcelona menewaskan Benfica 3-1 di Stadium Lluis Companys Olympic, awal pagi tadi.
Keputusan itu membolehkan Barcelona mara ke suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) dengan kemenangan agregat 4-1.
Pada aksi tersebut, Raphinha membuka tirai jaringan seawal minit ke-11 namun Benfica menyamakan kedudukan menerusi Nicolas Otamendi dua minit kemudian.
Begitupun, Yamal kembali meletak The Catalan didepan pada minit ke-27 menerusi rembatan menakjubkan, disusuli jaringan Raphina yang sekali lagi berjaya merobek gawang pelawat untuk memastikan Barcelona mendahului 3-1 pada babak pertama.
Bersambung babak kedua, meskipun kedua-dua pasukan saling mencipta peluang namun tiada gol dihasilkan sekali gus memberi kemenangan bergaya buat Barcelona yang sebelum ini menang 1-0 pada perlawanan pertama pusingan 16 di Lisbon.
Juara UCL lima kali, Barcelona belum tewas dalam 17 perlawanan sepanjang tahun ini.-AGENSI