GEORGE TOWN : Pulau Pinang melakar sejarah baharu dalam bidang pendidikan apabila melancarkan tiga buah institusi akademik iaitu Pejabat Institut Boya Pulau Pinang, Akademi Teknologi Asia Phoenix (Phoenix Asia) dan Metaverse Universal College (MVUC) yang disempurnakan pelancarannya oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, di sini.
Kon Yeow berkata, pembukaan institusi berkenaan menandakan langkah besar ke arah menjadikan Pulau Pinang sebagai hab pendidikan global, sejajar dengan visi Penang2030 yang menekankan pembangunan bakat dan inovasi teknologi.
Katanya, negeri itu bukan sekadar pusat perindustrian dan pelancongan, malah muncul sebagai antara pemain utama dalam bidang pendidikan antarabangsa.
“Jika tidak merancang lebih awal dan memupuk bakat, kita berisiko ketinggalan, justeru dengan adanya institusi seperti Metaverse Universal College, kita akan pastikan rakyat Pulau Pinang berada di barisan hadapan dalam era baharu ini,” katanya pada majlis pelancaran acara di Kampus Convent Pulau Tikus (CPT), di sini.
Penubuhan Pejabat Institut Boya Pulau Pinang yang berperanan sebagai pusat pertukaran akademik global serta kerjasama antara universiti dan institusi penyelidikan di rantau ini mencipta sejarah tersendiri kerana ini kali pertama sistem pendidikan Boya dari China berkembang ke luar negara.
Sementara itu, Phoenix Asia pula berusaha membentuk model pendidikan inovatif melangkaui sempadan disiplin ilmu manakala MVUC memberi tumpuan kepada teknologi masa depan seperti kecerdasan buatan (AI), metaverse, blockchain dan ekonomi digital.
Kon Yeow berkata, pihaknya turut mengalu-alukan lebih banyak inisiatif daripada pihak swasta dan institusi pengajian untuk melahirkan tenaga mahir dalam bidang teknologi moden lantaran usaha itu penting bagi memastikan Pulau Pinang kekal kompetitif dalam era digital dan AI.
“Kolaborasi antara Phoenix Asia dan Metaverse Universal College ini diharap dapat membangunkan modal insan dalam bidang AI dan era digital kerana teknologi ini amat penting bagi membantu negara melonjak ke peringkat lebih tinggi,” katanya. – UTUSAN