PETALING JAYA: Pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, menepati ramalan apabila mara ke pentas akhir acara keirin lelaki pada Kejohanan Piala Negara-Negara di Konya, Turkiye, malam tadi.
Pelumba berusia 30 tahun itu mempamerkan kayuhan bertenaga apabila menamatkan pusingan kedua di tempat ketiga pada saringan kedua dari enam pelumba yang bersaing.
Tempat pertama menjadi milik pelumba Jepun, Shinji Nakano, manakala Tom Derache dari Perancis meraih tempat kedua.
Menurut format kejohanan, hanya tiga pelumba teratas dari setiap saringan akan mara ke final bagi merebut pingat emas, manakala selebihnya akan berentap bagi menentukan kedudukan ketujuh hingga ke-12.
Terdahulu, Shah Firdaus mengungguli pusingan pertama pada aksi saringan ketiga acara berkenaan.
Aksi final dijadualkan berlangsung sekitar pukul 2 pagi ini, bergantung kepada jadual acara lain yang berlangsung.
Dalam pada itu, seorang lagi wakil negara, Muhammad Fadhil Zonis, terkandas di pusingan repechage selepas menduduki tempat kedua dari enam pelumba dalam saringan ketiga.
Hanya juara setiap saringan repechage diberikan tiket ke pusingan kedua, yang menyaksikan wakil Australia, Daniel Barber, muncul pemenang.
Terdahulu, Fadhil turut terkandas di pusingan pertama selepas menamatkan saingan di tempat keempat dalam saringan keempat. – UTUSAN