Piala MFL dimansuhkan, elak pasukan terbeban

Piala MFL dimansuhkan, elak pasukan terbeban

TERENGGANU II muncul pasukan pertama yang dinobatkan juara Piala MFL selepas tewaskan JDT II 1-0 pada edisi sulung, dua tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan kejohanan Piala MFL tidak akan diteruskan pada musim 2025-2026 selepas rakan kongsi liga sebulat suara bersetuju untuk memansuhkan saingan bawah 23 tahun itu.

MFL dalam satu kenyataan berkata, keputusan ini dibuat hasil perbincangan bersama 13 kelab Liga Super dalam mesyuarat yang berlangsung pada 19 Februari lalu.

“Kejohanan yang diperkenalkan pada 2023 dengan sokongan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) itu diwujudkan bagi memenuhi salah satu kriteria Pelesenan Kelab, namun selepas dua musim, kos operasi tinggi yang ditanggung kelab menjadi faktor utama pemansuhan.

“Pihak kelab menanggung perbelanjaan besar dari segi pembayaran gaji pemain serta operasi logistik sehingga mencecah RM28 juta bagi keseluruhan kelab Liga Super.

“Setelah mengambil kira pandangan semua pihak, MFL percaya keputusan ini adalah langkah terbaik dalam usaha menstabilkan kewangan kelab,” kata kenyataan itu.

Selain itu, MFL dan rakan kongsi liga turut bersetuju bahawa pemain dalam lingkungan usia 20 hingga 23 tahun seharusnya sudah bersaing untuk merebut tempat dalam skuad utama berbanding hanya bermain dalam pertandingan peringkat umur.

Bagaimanapun, pembangunan pemain muda tetap menjadi keutamaan apabila saingan Piala Presiden (Bawah 20 Tahun) dan Piala Belia (Bawah 18 Tahun) akan diteruskan di bawah anjuran Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Dengan ketiadaan liga khusus untuk pemain bawah 23 tahun, MFL komited untuk terus memperkasakan satu-satunya saingan liga domestik iaitu Liga Super bagi musim 2025-2026.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya