JOHOR BAHRU: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memberi fokus terhadap pembangunan pemain muda menerusi Piala Belia dan Piala Presiden susulan Piala Liga Bolasepak Malaysia (MFL) secara rasminya dimansuhkan mulai musim depan.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, pihaknya turut merangka pelan lain bagi membela masa depan pemain-pemain bawah 23 tahun.
Antara langkah akan diteliti adalah bekerjasama dengan Liga Bolasepak Amatur (AFL) membabitkan saingan Liga A1 Semi Pro untuk menempatkan pemain bawah 23 tahun ini.
“Bagi Piala MFL (dimansuhkan), kita akur dengan keputusan yang dibuat oleh Lembaga Pengarah MFL.
“Kita nampak Piala Presiden dan Piala Belia untuk pembangunan, sememangnya FAM fokus terhadap Piala Presiden dan Piala Belia sebagai platform utama untuk pemain muda,” katanya selepas menghadiri Majlis Menandatangani Perjanjian antara FAM dan CARSOME di Hotel Thistle, di sini hari ini.
Semalam, MFL mengesahkan kempen Piala MFL pada musim depan terpaksa dibubarkan selepas 13 kelab Liga Super yang juga rakan kongsi saingan Liga Malaysia bersetuju untuk memansuhkan saingan itu.
Dalam kenyataan media yang dikongsikan oleh MFL, mendapati pihak kelab menanggung perbelanjaan tinggi dari segi pembayaran gaji pemain dan operasi logistik sehingga mencecah RM28 juta bagi kos yang ditanggung keseluruhan kelab Liga Super.
Noor Azman berkata, badan induk bola sepak negara itu memberi jaminan bahawa perbincangan lanjut akan diadakan dengan AFL dan pihak teknikal bagi mencari penyelesaian terbaik mengenai hala tuju bakat muda ini.
Tambahnya, pihaknya juga akan mengadakan perbincangan dengan Presiden AFL, Datuk Yusoff Mahadi mengenai perkara ini dalam masa terdekat.
“Kita akan bincang secara lanjut, apa sahaja keputusan itu, kita akur. Kita akan bincang mengenainya dalam masa terdekat.
“Bagi FAM, kita tak bimbang sebab setiap apa yang kita buat, ada perancangan. Apapun keputusan yang dibuat, kita akan berbincang dengan semua pihak,” ujarnya. – UTUSAN