PETALING JAYA: Presiden Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat mengakui perubahan yang dilakukan Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) telah mengganggu perancangan badan induk itu dalam perburuan pingat emas di Sukan Komanwel 2026.
Lembaga Eksekutif IWF telah memperkenalkan kategori baharu bagi peringkat remaja dan senior pada Disember lalu dan ia akan berkuatkuasa 1 Jun ini iaitu 60 kilogram (kg), 71kg, 79kg, 88kg, 98kg, 110kg dan atas 110kg bagi lelaki.
Bagi wanita pula menyaksikan kategori yang dipertandingkan adalah 48kg, 53kg, 58kg, 63kg, 69kg, 77kg, 86kg dan atas 86kg.
Mengulas lanjut, Ayub mengakui ketiadaan kategori 55kg iaitu paling rendah dalam program podium telah membuatkan badan induk tersebut perlu memilih kategori lain bagi memburu pingat emas di Sukan Komanwel Glasgow 2026.
“Apabila berlaku perubahan tersebut, sasaran kita berubah sebab dari awal saya sudah tetapkan bahawa Sukan Komanwel 2026 sekurang-kurangnya empat atau lima pingat emas.
“Empat atau lima pingat emas itu termasuk daripada kategori 55kg namun apabila perubahan itu berlaku kita kehilangan satu (pingat) secara automatik.
“Namun, kita akan berusaha untuk mengenal pasti kategori lain yang boleh kita mencapai sasaran kita,” katanya.
Perubahan tersebut bermakna atlet angkat berat negara, Aniq Kasdan akan bertanding kategori 61kg buat kali terakhir pada tahun ini di Kejohanan Angkat Berat Asia dekat China pada 6 hingga 16 Mei ini.-UTUSAN
habis
KAPSYEN: ANIQ Kasdan akan bertanding dalam kategori baharu selepas perubahan dilakukan Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF).