Pertuduhan ibu bapa Zayn Rayyan dipinda, perinci lokasi

Pertuduhan ibu bapa Zayn Rayyan dipinda, perinci lokasi

ZAIM Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan pertuduhan yang dikenakan terhadap ibu bapa  kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan dipinda.

Permohonan itu dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin bagi memperincikan lokasi kesalahan itu didakwa dilakukan.

Mengikut pertuduhan pindaan, kedua-dua tertuduh, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan didakwa bersama-sama mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin akan menyebabkan kecederaan fizikal.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di antara 5 Disember 2023, pukul 12 tengah hari dan 6 Disember 2023, pukul 9.55 malam di sekitar kawasan blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan apartment sama.

Pertuduhan asal hanya meletakkan kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini.

Pertuduhan masih kekal mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum Rm50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Zaim Ikhwan dan Ismanira masih  mengekalkan pengakuan tidak bersalah dan meminta untuk dibicarakan atas tuduhan pindaan itu.

Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan di aliran sungai berhampiran Apartmen Idaman, selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.

Ibu bapa Zayn Rayyan, yang ditahan di sekitar Puncak Alam, Selangor pada 31 Mei 2024, direman selama 13 hari bermula 1 Jun bagi membantu siasatan kes pembunuhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN