PETALING JAYA: Jaguh lempar cakera negara, Irfan Shamsuddin meraih perak pada Kejohanan Trek dan Padang Queensland di Stadium QSAC, Brisbane, Australia kelmarin yang juga pingat sulungnya pada musim ini.
Atlet berusia 30 tahun itu mengesahkan pingatnya pada percubaan terakhir dengan melakukan catatan 60.00 meter (m) tewas kepada Lawrence Okoye dari Great Britain (67.10m) manakala gangsa menjadi milik tuan rumah, Daniel Di Giandomenico (52.76m).
Pengarah Teknikal Kejurulatihan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Robert Ballard berkata, pencapaian Irfan pada kejohanan tersebut sangat baik dan memberi petanda positif kepada atlet itu bagi menghadapi Sukan SEA 2025 di Thailand, Disember ini.
“Catatan jarak yang dilakukan oleh Irfan merupakan catatan peribadi terbaiknya pada musim ini memandangkan itu adalah kejohanan pertama yang disertainya pada 2025.
“Jika dilihat pada catatan tersebut, Irfan mempunyai potensi untuk memenangi pingat emas di Sukan SEA 2025 nanti sekiranya dia dapat mengekalkan prestasinya itu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Irfan merupakan pemegang rekod kebangsaan bagi acara lempar cakera selepas melakukan catatan 62.55m pada Kejohanan Olahraga Austrian di Linz, Austria, 25 Mei 2017.
Ballard turut memberitahu atlet lontar peluru negara, Jonah Chang Rigan dijadual beraksi di kejohanan tersebut hari ini dan berharap dia dapat membawa pulang pingat.
“Dia berada di tahap terbaik dengan latihan yang dilakukan malah kami turut melakukan simulasi sebenar bagi mendapatkan situasi pertandingan. Saya percaya dia boleh beraksi dengan cemerlang di kejohanan itu,” katanya.-UTUSAN