Perjuangan Eain Yow di New Zealand berakhir

Perjuangan Eain Yow di New Zealand berakhir

NG Eain Yow (kanan) sewaktu beraksi menentang Marwan Elshorbagy pada separuh akhir Kejohanan Skuasy Terbuka New Zealand di Christchurch, New Zealand, hari ini. - Ihsan PSA Squash
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hasrat untuk melihat satu-satunya wakil Malaysia, Ng Eain Yow mara ke perlawanan akhir pada Kejohanan Skuasy Terbuka New Zealand tidak kesampaian selepas dia tumpas di tangan Marwan Elshorbagy dari England pada separuh akhir, hari ini.

Anak jati Kuala Lumpur yang menghuni ranking ke-12 dunia itu tewas straight set 9-11, 8-11, 4-11 kepada pemain veteran kelahiran Mesir tersebut di Isaac Theater Royal, Christchurch.

Kekalahan itu juga menyaksikan Eain Yow masih belum mampu memecah angka kosong yang tercatat di dalam rekod pertemuannya menentang Marwan dan sekali gus menjarakkan catatan tersebut kepada 0-3.

Kegagalan pemain berusia 27 tahun itu juga bermakna cabaran Malaysia terhenti setakat separuh akhir, selepas dua pemain wanita negara, S. Sivasangari dan Rachel Arnold kecundang kepada lawan masing-masing di suku akhir, semalam.

Fokus Eain Yow kini beralih kepada Terbuka Australia yang akan berlangsung di Brisbane, Selasa minggu depan, kejohanan yang memiliki status lebih tinggi berbanding Terbuka New Zealand.

Selain Eain Yow, pemain No. 7 dunia, Sivasangari, Rachel, pasangan adik beradik, Aifa dan Aira Azman serta Noor Ainaa Amani Ampandi turut beraksi pada kejohanan yang memiliki status Gold itu.

Undian utama yang telahpun keluar, minggu ini, menyaksikan Eain Yow dan Sivasangari mendapat bye pada pusingan pertama, manakala, empat lagi pemain negara perlu turun ke gelanggang lebih awal.

Aira bakal berdepan Nicole Bunyan dari Kanada, manakala, kakaknya, Aifa menentang pemain Hong Kong, Lee Ka Yi.

Pemain No. 19 dunia, Rachel pula menghitung pertemuan dengan Nour Heikal dari Mesir dan Ainaa menentang wakil Amerika Syarikat, Marina Stefanoni.

Barisan pemain negara terutamanya yang berada di dalam program Road To Gold (RTG) iaitu Sivasangari, Eain Yow, Aifa dan Aira, berdepan jadual padat bagi mencari slot ke Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Bagi pemain yang tidak tersenarai seperti Rachel, Ainaa dan Sanjay Jeeva, walaupun tidak berada di dalam program RTG, ini tidak bermakna peluang mereka tertutup ke temasya terbesar di dunia itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya