ARAU: Penubuhan fakulti kecerdasan buatan (AI) di rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) berupaya meletakkan negara lebih ke hadapan dalam teknologi tersebut.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beberapa universti MTUN termasuk Universiti Malaysia Perlis (Unimap) telah diberikan kepercayaan menubuhkan fakulti itu dalam menghasilkan lebih ramai tenaga profesional.
Beliau berkata, pihaknya juga telah mengkoordinasikan mesyuarat MTUN bagi melancarkan pengeluaran seramai 60,000 tenaga profesional dalam pelbagai bidang kejuruteraan yang diperlukan di negara ini.
“Unimap merupakan antara beberapa universiti MTUN yang diberi kepercayaan oleh kerajaan dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk menubuhkan fakulti AI ini dan kita harap ia dapat meletakkan negara ke hadapan dalam bidang tersebut,” katanya selepas lawatan kerja di universiti itu di sini, hari ini.
Yang hadir sama, Naib Canselor Unimap, Prof. Datuk Dr. Zaliman Sauli bersama pemain-pemain industri dalam bidang tersebut.
Lawatan itu bagi membincangkan mengenai keperluan bakat dan bidang Advanced Packaging yang melibatkan pengurusan Unimap serta wakil daripada Northern Corridor Implementation Authority (NCIA).
Ahmad Zahid berkata, Unimap memfokuskan kepada bidang elektrik dan elektronik (E&E) yang merupakan sektor pengeksportan terbesar di negara ini dan memerlukan ramai tenaga kerja.
“Unimap sebagai pusat Latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) juga berada di garisan hadapan untuk memacu kepada penghasilan 60,000 tenaga profesional diperlukan dalam pasaran sekarang,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, selain membekalkan tenaga kerja dalam bidang E&E, Unimap juga turut menyediakan latihan tambahan kepada pekerja profesional dalam sektor tersebut.
Katanya, Majlis TVET juga telah meluluskan peruntukan RM1 juta sebelum ini di mana RM200,000 digunakan untuk mengendalikan kursus-kursus berkaitan E&E manakala selebihnya untuk perkakasan dan peralatan latihan.
“Paling penting sekali ialah untuk memberikan latihan upskilling kepada pelatih-pelatih bagi menambah nilai buat graduan E&E mendapatkan gaji premium daripada majikan,” katanya. – UTUSAN