PETALING JAYA: Langkah beregu wanita No. 1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah terhenti di suku akhir selepas gandingan No. 6 dunia itu tunduk kepada pasangan China, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian pada Kejohanan Badminton Orleans Masters di Orleans, Perancis, hari ini.
Turun selaku pilihan kedua, Pearly-Thinaah tewas straight set 15-21, 19-21 dalam masa 40 minit kepada Yi Fan-Shu Xian yang diletakkan sebagai pilihan ketujuh.
Kekalahan itu sedikit membimbangkan menjelang kejohanan tertua, All England yang akan membuka tirai kejuaraan Selasa, minggu depan.
Lebih malang lagi, apabila kem negara turut menerima khabar kurang gembira mengenai kecederaan yang menimpa Cheng Su Yin sehingga memaksa dia dan pasangannya Hoo Pang Ron menarik diri daripada suku akhir Orleans Masters.
Pang Ron-Su Yin yang menghuni ranking ke-14 dunia sepatutnya dijadual beraksi menentang beregu campuran Indonesia, Rehan Naufal Kusharjanto-Gloria Emanuelle Widjaja.
Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia, Rexy Mainaky mengesahkan Su Yin ditimpa kecederaan buku lali.
Pemain berusia 21 tahun itu difahamkan tergelincir di tangga selepas perlawanan pusingan kedua berakhir di Palais Des Sports.
“Su Yin mengalami kecederaan tendon di bahagian dalam buku lalinya dan telahpun mendapatkan rawatan.
“Buat masa ini kecederaan yang dialami tidak mengizinkan Su Yin menjalani latihan kerana pengerakan yang terbatas ekoran kesakitan serta bengkak di buku lalinya, kita akan memantau perkembangan dia,” kata Rexy.
Dengan All England yang bermula minggu depan, penyertaan Su Yin untuk membuat penampilan sulung pada kejohanan Super 1,000 itu kini menjadi tanda tanya.
Sementara itu, dalam satu lagi aksi beregu wanita Malaysia, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing terpaksa akur kepada kehebatan pilihan keenam, Kim Hye Jeong-Kong Hee Yong dari Korea Selatan selepas tumpas 13-21, 11-21 dalam masa 36 minit. – UTUSAN