PETALING JAYA: Beregu wanita No. 1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah menempah slot ke suku akhir selepas bertarung sengit dengan gandingan Korea Selatan, Jeong Na Eun-Lee Yeon Woo pada peringkat 16 terbaik Kejohanan Badminton Orleans Masters di Orleans, Perancis, lewat malam tadi.
Pasangan No. 6 dunia yang diletakkan sebagai pilihan kedua itu mengambil masa selama 1 jam 8 minit untuk menundukkan Na Eun-Yeon Woo 22-20, 11-21, 21-14.
Pada suku akhir, hari ini, Pearly-Thinaah bakal berdepan beregu China, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian yang menewaskan gandingan Taiwan, Hsu Yin Hui-Lin Jhih 21-7, 21-13 dalam masa 29 minit.
Turut mengikut jejak langkah Pearly-Thinaah mara ke suku akhir ialah satu lagi beregu wanita Malaysia, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing yang membenam cabaran Indonesia, Meilysa Trias Puspitasari-Rachel Allessya Rose 21-18, 21-15 dalam masa 53 minit.
Kemenangan itu amat bermakna kepada Pei Kee-Mei Xing yang berjaya membalas dendam ekoran kekalahan mereka di tangan Meilysa-Rachel pada Kejohanan Berpasukan Campuran Asia di Qiangdao, China, Februari lalu.
Pasangan yang menghuni ranking ke-38 dunia itu bakal berdepan tugas berat selepas beregu handalan Korea Selatan, Kim Hye Jeong-Kong Hee Yong menanti mereka di suku akhir.
Hye Jeong-Hee Yong yang diletakkan sebagai pilihan keenam menewaskan beregu Thailand, Benyapa Aimsaard-Nuntakarn Aimsaard 19-21, 21-18, 21-11 di peringkat 16 terbaik.
Sementara itu, gandingan No. 18 dunia, Arif Junaidi-Yap Roy King menjadi wakil tunggal Malaysia dalam saingan beregu lelaki berjaya meloloskan diri ke suku akhir.
Arif-Roy King yang diletakkan sebagai pilihan kelapan menumpaskan Chen Zi Yi-Presley Smith dari Amerika Syarikat 21-18, 21-11 dalam masa 33 minit.
Di suku akhir, Arif-Roy King terpaksa mengharungi ujian getir menentang beregu No. 9 dunia, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan setelah pasangan Taiwan itu menyingkirkan Pruthvi Krishnamurthy Roy-Sao Pratheek.K dari India 21-16, 21-13. – UTUSAN