TERMAS DE RIO HONDO: Pelumba Ducati, Marc Marquez, mengenal pasti empat pencabar utama yang berpotensi menghalangnya daripada menjuarai Grand Prix (GP) Argentina, esok selepas menampilkan aksi cemerlang dalam sesi latihan, awal pagi semalam.
Marquez, yang juga pendahulu kejuaraan MotoGP, mencatat rekod baharu dengan catatan masa 1 minit 37.295 saat (s) dalam sesi latihan kedua di Litar Termas de Rio Hondo, sekali gus mengekalkan statusnya sebagai pelumba pilihan untuk meraih kemenangan.
“Alex (Marquez) sekali lagi sangat kuat di sini, dia pasti akan menjadi pencabar utama. Fabio (Di Giannantonio) juga mencatat masa yang baik, dan walaupun dari segi kelajuan dia sedikit ketinggalan, saya yakin dia akan mendekat.
“Francesco (Bagnaia) juga pantas walaupun terjatuh, dan kemudian (Marco) Bezzecchi, yang menang di sini pada 2023. Aprilia juga pernah menunjukkan prestasi baik di litar ini, jadi saya jangka Bezzecchi akan menjadi ancaman,” kata Marquez.
Marquez mengakui, meskipun tampil dominan dalam sesi latihan, dia masih dalam proses menyesuaikan diri dengan jentera Ducati kerana kali terakhir dia berlumba di litar itu adalah pada 2019.
Bagaimanapun, pelumba Sepanyol itu berpuas hati dengan peningkatan prestasinya dalam sesi latihan kedua selepas menghadapi sedikit kesukaran di sesi pertama akibat kekurangan data asas pada sistem elektronik jentera Ducati.
Fokus utama Marquez kini adalah untuk memastikan dia bermula di petak hadapan hari ini, selain mengekalkan rentak konsisten dalam perlumbaan bagi memburu kemenangan kedua berturut-turut musim 2025.
“Kelajuan saya sangat baik, dan dengan tayar sederhana serta tayar lembut, saya berasa selesa. Esok (hari ini) akan menjadi hari yang penting untuk memahami keadaan litar dan menyesuaikan gaya tunggangan serta tetapan jentera,” katanya. – AGENSI