PETALING JAYA: Regu wanita negara perlu memburu kemenangan ke atas Nepal, hari ini selepas mencatat satu kemenangan dan sekali kalah dalam aksi Kumpulan A pada Piala Dunia Sepak Takraw 2025 di Bihar, India, malam tadi.
Malaysia yang membuka aksi menentang tuan rumah, India tumpas straight set 12-15, 11-15 di Stadium Tertutup Patliputra.
Bagaimanapun, kehampaan itu berjaya ditebus anak-anak buah jurulatih, Ahmad Ezzat selepas mereka bangkit untuk mencatat kemenangan ke atas Poland, 15-3, 15-4 dalam perlawanan kedua Kumpulan A.
Skuad wanita kebangsaan terbang ke Bihar dengan dibarisi rata-rata pemain muda yang masih cetek pengalaman pada edisi kali ini.
Pemain-pemain tersebut adalah Azeira Lusian, Nur Fatihah Sharudin, Emilia Eva Natasha Saudia, Siti Hadinavilla Jumidil dan Kamisah Khamis.
Hari ini, Malaysia akan turun beraksi dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan menentang Nepal.
Kemenangan menjadi misi skuad negara jika berhajat untuk menempah slot ke separuh akhir selaku naib juara dengan India hampir pasti mengungguli Kumpulan A.
Untuk aksi regu, skuad lelaki tidak dihantar ke Bihar memandangkan penganjur hanya meletakkan kategori utama tersebut sebagai acara jemputan bagi membuka laluan kepada negara-negara bukan kuasa besar menimba lebih banyak pengalaman.
Negara kuasa besar sukan sepak takraw seperti Malaysia, Thailand, Vietnam dan Myanmar tidak bertanding di Bihar, manakala, Indonesia pula tidak beraksi ekoran masalah visa.
Bagaimanapun, pingat emas acara utama itu akan kembali menjadi rebutan pada Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025 dengan Malaysia selaku tuan rumah di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur, Mei ini. – UTUSAN