PUTRAJAYA: Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa dan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk melindungi orang awam serta menamatkan kekebalan Israel daripada tindakan undang-undang.
Kementerian Luar dalam kenyataan menegaskan, rejim tersebut mesti dipertanggungjawabkan sepenuhnya atas pelanggaran berterusan terhadap undang-undang antarabangsa.
Katanya, gelombang serangan terbaru oleh rejim Zionis Israel jelas membuktikan bahawa rejim tersebut tidak mempunyai sebarang hasrat untuk berdamai dengan negara-negara jirannya.
Sebaliknya, Israel terus mencabuli undang-undang antarabangsa, resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), serta usaha damai yang sedang dijalankan.
“Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan udara dan bedilan artileri Israel ke atas Gaza pada hari ini, yang secara sepihak menamatkan perjanjian gencatan senjata sekali gus meragut lebih 300 nyawa di wilayah Palestin.
“Gelombang serangan terbaru oleh rejim Zionis Israel ini turut menyasarkan Syria, Lubnan, dan Yaman, mengakibatkan lebih banyak kematian dan kecederaan termasuk kanak-kanak serta petugas kemanusiaan,” katanya hari ini.
Menurut Wisma Putra, pembunuhan berterusan terhadap orang awam, termasuk kanak-kanak, wanita, dan petugas kemanusiaan, merupakan jenayah perang, genosida, serta pembersihan etnik.
Katanya, serangan Israel ke atas negara-negara berdaulat juga menjadi ancaman serius terhadap keamanan dan kestabilan global. – UTUSAN